Jumaat, 27 April 2012

Masalah Kemurungan




Gangguan kitaran dalaman badan Ritma Sirkadian punca murung, jejas kehidupan

Kes 1
AWALNYA, Wei Ling (bukan nama sebenar), 26, tidak menganggap kesukaran dan gangguan tidur dialaminya satu masalah kerana beranggapan keadaan itu normal bagi kebanyakan orang yang melakukan kerja tambahan.
Menceritakan rutin kehidupannya, dia pada mulanya bertugas di sebuah syarikat mengikut waktu pejabat jam 9 pagi hingga 5 petang, namun apabila mendapat tawaran melakukan kerja sampingan pada malam hari dalam industri hiburan yang cukup mencabar dan menarik, dia mengambil peluang itu.

Jadual kerjanya dari awal pagi sehingga lewat malam itu menyebabkan Wei Ling mula mengalami tabiat tidur tidak normal sehingga mula menjejaskan tumpuan dan aktiviti seharian. 

Bagaimanapun, dia tidak menghiraukan keadaan itu dan meneruskan rutin harian sehingga menyedari keadaan tubuh, perlakuan dan mindanya semakin terjejas.

Dia bukan saja tidak mampu fokus dalam setiap kerja dilakukan, tiada selera makan, kurang minat bersosial bersama rakan dan sentiasa rasa diri kurang bersedia, tetapi juga kegembiraannya mula bertukar menjadi kemurungan. 
Menyedari dirinya berdepan masalah kesihatan yang semakin kritikal, Wei Ling sedar dia perlu mendapatkan bantuan doktor.

Pada awalnya, dia berjumpa dengan doktor biasa yang memberinya ubat-ubatan untuk membantu mengatasi masalah dialami terutama memberinya tidur lebih lena, namun ia tidak menunjukkan kesan terbaik.

Kemudian, dia sekali lagi bertemu doktor biasa yang merujuk kesnya kepada seorang pakar psikiatrik dan dia dikesan mengalami simptom masalah kemurungan. 

Selepas menjalankan beberapa ujian, pakar psikiatrik berkenaan mengesahkan Wei Ling berdepan masalah kemurungan tahap awal dan beliau terus merawatnya melalui kaedah kaunseling dan perubatan.

Beliau turut menyarankan supaya berhenti bekerja tambahan di waktu malam kerana segelintir orang sepertinya tidak sesuai melakukannya banyak kerja kerana kitaran ritma sirkadian tubuh mereka sukar menerima corak perubahan itu.

Akur dengan nasihat doktor, selepas tiga hingga empat bulan, masalah kemurungan dialami Wei Ling akhirnya pulih dan dia mampu menjalani kehidupan normal dan gembira bersama keluarga, rakan dan orang sekeliling.

Kes 2

RAHMAN Abdul Rahim (bukan nama sebenar), 51, adalah seorang jurutera berjaya di sebuah syarikat ternama yang menjalani kehidupan cukup gembira dan bahagia bersama isteri serta dua orang anak perempuan.

Keperluan tugasnya yang cukup sibuk ditambah sikapnya yang sangat kuat menjadikan dia adalah orang pertama sampai ke pejabat dan terakhir pulang ke rumah. Keadaan itu baginya adalah suatu kebiasaan asalkan kerjanya dapat diselesaikan mengikut waktu ditetapkan serta mencapai sasaran tugas dikehendaki.

Sikap komited terhadap tugas dan kedudukannya sebagai jurutera kanan membuatkan dia dipilih mengetuai pasukan kakitangan untuk menyediakan kertas kerja berhubung satu projek mega.

Ekoran sikapnya yang meletakkan jangkaan tinggi dalam sesuatu tugasan untuk mendapatkan hasil terbaik, dia mendesak ahli pasukan supaya bekerja keras namun tetap tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan mereka walaupun ia beberapa kali diperbaiki. 

Dia menganggap dirinya seorang ketua tidak berguna, tidak mampu menghasilkan kertas kerja terbaik, merasa teruk, resah dan cepat letih.

Keadaan itu menjadikan Rahman kurang keyakinan untuk ke pejabat dan berdepan bos serta rakan-rakan kerja yang sering menganggapnya tidak mampu mengetuai pasukan. 

Ia juga menyebabkan dia mengalami kebimbangan, masalah tidur, hilang selera makan, tidak mempunyai harapan, sering memohon cuti kerja dan mengambil cuti sakit.

Lebih teruk, ketika di rumah, dia lebih banyak menghabiskan masa terperap di dalam bilik, pura-pura tidur dan hanya keluar bilik apabila isteri serta anak-anaknya tiada di rumah.

Atas desakan berterusan daripada isterinya supaya bertemu pakar psikiatrik, dia akhirnya bersetuju dan bertekad untuk mengatasi masalah itu.

Hasil pengalaman dan ujian tahap kesihatan yang dijalankan pakar psikiatrik, beliau mengesahkan Rahman mengalami masalah kemurungan serius sebelum dia dirawat melalui penggunaan ubat-ubatan, bagi membaikpulih saraf berhubung gangguan Ritma Sirkadian.

Dalam tempoh sembilan bulan, Rahman diberi terapi yang mampu membantunya mengatasi masalah itu dan memberinya kehidupan gembira, bahagia dan normal seperti sebelum ini.


DUA kes di atas adalah senario yang membelenggu kehidupan dan diri penghidap kemurungan. Takrif kemurungan itu adalah satu bentuk gangguan perasaan atau emosi yang dialami seseorang sama ada di dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang sehingga bertahun-tahun lamanya. 

Namun, hakikatnya, penghidap di atas dan juga mungkin ada lebih ramai lagi yang tidak menyedarinya, masalah mereka bukan berkisar kepada aspek emosi semata-mata sebaliknya lebih daripada itu. Ini kerana mereka turut mengalami satu atau lebih simptom gangguan ‘circadian rhythm’ atau ritma sirkadian seperti rasa sedih dan kosong, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, cepat letih, kurang bertenaga, mudah berputus asa serta menganggap diri tidak berguna.

Mereka juga mungkin mengalami gangguan tidur, hilang selera makan, penurunan berat badan, mudah marah, berasa tidak tenteram, menganggap mati lebih baik daripada hidup, kurang fokus, sukar membuat keputusan dan simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit badan serta masalah penghadaman.

Kajian kesihatan beberapa tahun lalu, mendapati masalah kemurungan dialami kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia dan dijangka meningkat berikutan persaingan ekonomi.

Lebih membimbangkan, kajian kesihatan mental direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, masalah keempat paling ramai dihidapi penduduk dunia itu turut dialami kanak-kanak. 

Andai masalah kemurungan ini tidak dirawat segera dan sewajarnya, ia boleh mengakibatkan perubahan negatif kepada penghidapnya dari segi kelakuan serta pemikiran sehingga menyumbang kepada kematian akibat bunuh diri.

Bagaimanapun di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat sedari awal.

Pakar psikiatris dan Bekas Presiden Persekutuan ASEAN berkaitan Psikiatrik dan Kesihatan Mental (AFPMH), Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata sebanyak 82 peratus daripada penghidap masalah kemurungan yang tampil menjalani rawatan daripada doktor biasa, pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala masalah kemurungan. 

“Sebanyak 18 peratus penghidap hanya diberi ubat bagi menangani simptom yang dialami kerana doktor biasa tidak mempunyai kepakaran mengenalpasti atau merawat secara tepat masalah psikiatrik dan kesihatan mental. 

“Sebenarnya punca utama masalah kemurungan adalah gangguan dikenali Ritma Sirkadian iaitu kecelaruan kitaran dalaman tubuh seseorang yang berfungsi mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel.

“Gangguan Ritma Sirkadian yang dialami ini mampu mengubah kitaran aktiviti individu sama ada ketika berjaga atau tidur, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh.

“Akibat perubahan ini yang biasanya disebabkan banyak faktor seperti tekanan persekitaran, keturunan, personaliti pesimis iaitu tahap keyakinan rendah dan penyakit, seseorang mula berubah menjadi murung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Media Malaysia Servier bertemakan ‘Penetapan Semula Ritma Sirkadian Memberikan Dimensi Baru Kepada Masalah Kemurungan’ anjuran syarikat farmaseutikal Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental.

Selain Mohamad Hussain, bengkel itu disertai dua ahli panel iaitu Perunding Psikiatrik, Jabatan Psikiatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain dan Perunding Psikiatrik Swasta, Dr Ting Joe Hang.

Mengulas lanjut, Mohamad Hussain berkata, penting bagi individu memahami secara mendalam kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan supaya ia mampu dikesan dan dirawat segera.

“Andai anda mengalami simptom kemurungan, segeralah berjumpa dengan pakar psikiatrik bagi memastikan anda mampu dirawat secara berkesan dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Jangan dapatkan rawatan dari pakar perubatan biasa kerana hanya pakar psikiatrik mampu memahami dan menyelesaikan masalah anda mengikut jenis rawatan paling sesuai.

“Antara rawatan diberikan selain perbincangan pakar dan penghidap adalah ubat-ubatan anti kemurungan yang menumpukan gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) dan penggunaan agomelatine yang memfokuskan saraf penerima melatonergic di dalam otak,” katanya.

Namun, katanya, pada masa sama, orang ramai perlu membuang stigma bahawa individu yang bertemu pakar psikiatrik adalah gila kerana kemurungan bukan penyakit mental.

“Stigma itu hanya membantutkan niat seseorang bertemu pakar psikiatrik dan menyebabkan rawatan sukar diberi selain menambah trauma pengidap,” katanya.

Kemurungan, jelasnya, bukan masalah ringan dan memerlukan perhatian serta rawatan sewajarnya bagi memastikan penghidap tidak mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius.

INFO: Simptom kemurungan

  • Perasaan sedih dan kosong

  • Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran

  • Cepat letih

  • Menganggap diri tidak berguna

  • Kurang bertenaga

  • Mudah berputus asa

  • Hilang selera makan

  • Mengalami gangguan tidur

  • Penurunan berat badan

  • Kerap marah

  • Perasaan tidak tenteram

  • Menganggap mati lebih baik daripada hidup

  • Kurang fokus

  • Sukar membuat keputusan

    Kaitan gangguan Ritma Sirkadian dan masalah kemurungan

  • Perubahan Mood Harian
    Kemurungan di waktu pagi dan keadaan mood yang tidak normal

  • Corak Aktiviti Siang Hari
    Kurang bertenaga, tumpuan rendah, waktu makan tidak teratur

  • Pengurusan Malam Hari
    Sukar tidur, gangguan ketika tidur kerana kerap terjaga serta bangun awal

  • Konsentrasi Terjejas
    Keletihan pada siang hari dan mengantuk.


  • 8 ulasan :

    Muttallif berkata...

    Bahaya kemurungan memang membawa padah kepada pengidapnya. Sebab itu kita tidak digalakkan untuk menekan diri dalam apa sekali kerja yang kita lakukan.

    Walaupun kerja tersebut memerlukan tenaga dan pengorbanan lebih, namun berikan ruang untuk menerima kekalahan dan kesilapan kerana ianya memberi ruang untuk kita bernafas dan menjadi lebih bijak.

    Seperti saya dalam 1-2 minggu ini telah dilanda sakit akibat beban dan kerja berlebihan. Akibat itu, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerja tapi berehat dan beriadah. Alhamdullillah, sudah kembali bertenaga dan bersedia sekali lagi untuk menempuhnya dengan cara berbeza. salam :)

    Sis AI berkata...

    Bahaya ni.. Yg pasti, klu trus perapkn diri dgn krja, tak kluar utk hirup udara segar, mmg slalunya boleh dpt. Msa beriadah tu penting. Brr, mntak jauh la msalah ni. Sy rsa sy jarang kena. Klu kna msalah ni, cpat2 ikhtiar, didik diri sndiri utk buat somethin yg ceriakn diri sy..

    Azmi Khan berkata...

    info menarik....
    sy pernah menghadapi seorg pelajar yg menghidapi kemurungan....
    Alhamdulillah skrg sihat sejahtera dia...
    kemurungan boleh terjadi dlm byk keadaan dan situasi....

    si kiut lavender berkata...

    byknya simptom2 dia.

    leh bersiap sedia nak hadapi hari kemudian nih..

    Cik Diana berkata...

    masalah yg selalu Org ambil mudah tapi kesan dye sgt mendalam. pape kekuatan rohani n spiritual sgt penting.

    nasir hamzah berkata...

    thanks korang, komen2 korang amatlah nasir hargai.. memang the best..

    Ezad Skytech berkata...

    banyak jugak simptom2 kemurungan ni...mmg byk effect kat kesihatan diri kan...

    Dr Muhammad Akbar bin Abdullah berkata...

    Artikel yang menarik mengenai kemurungan yang kian melanda rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita. Statistik ini kian meningkat disebabkan tahap sosio-ekonomi yang semakin mencabar dan hubungan kekeluargaan yang tidak rapat. Pada pendapat saya, masalah kemurungan ini sebaik-baiknya dirawat dengan kaedah-kaedah yang tidak melibatkan penggunaan ubat psikiatrik seperti mengadakan sesi kaunseling dan sebagainya. Ubat psikiatrik hanya diberi sekiranya masalah pesakit telah menjadi serius seperti ada perasaan membunuh diri atau mencederakan orang lain dan sebagainya.

    PERHATIAN

    Cerita hantu dan kisah-kisah seram di Blog Nasir Hamzah ini adalah sekadar hiburan semata-mata. Penulis blog tidak menggalakkan kepercayaan kepada tahyul dan khurafat. Anggaplah kisah-kisah seram ini sekadar hiburan untuk anda semua.. Ribuan terima kasih diatas sokongan yg anda berikan. Sila berkunjung kembali..